Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

14 August 2010

Perasmian Fiesta Ramadhan Peringkat SMK Belawai 2010

 Perasmian Fiesta Ramadhan Peringkat SMK Belawai 2010

Oleh Husni Zaim Bin Md. Isa
www.ustazhusni.blogspot.com

Bersempena dengan kehadiran bulan Ramadhan yang sentiasa dinantikan oleh warga SMK Belawai khususnya yang beragama Islam, pada tahun ini pihak Panitia Pendidikan Islam SMK Belawai dengan kerjasama pihak pentadbiran sekolah telah menganjurkan "Fiesta Ramadhan, Jom Puasa" untuk kali kedua selepas berjaya menganjurkannya pada bulan Ramadhan tahun lepas.

Pada hari Selasa 10 Ogos 2010 jam 7 pagi telah diadakan majlis pelancaran dan perasmian bagi sambutan Fiesta Ramadhan kali ini, bertempat di tapak perhimpunan pagi. Majlis pada pagi tersebut telah dipengerusikan oleh Cikgu Taufik dan telah selamat dirasmikan oleh Y.Bhg. Tuan Pengetua SMK Belawai, En. Mohamad Shariff Bin Mat Saad.

Untuk program sambutan "Fiesta Ramadhan" kali ini, pihak jawatankuasa Panitia Pendidikan Islam SMK Belawai telah merancang untuk mengadakan beberapa aktiviti pengisian untuk warga SMK Belawai antaranya Solat Terawih berjemaah di Surau Al-Hidayah, Tadarus Al-Quran, Sampaikan Salam Ramadhan, Usrah Berkelompok, Risalah Ramadhan dan lain-lain program yang bakal memeriahkan lagi sambutan bulan Ramadhan kali ini. Mudah-mudahan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain yang kita lakukan pada bulan ini diterima oleh Allah S.W.T. Amin.

Di bawah, beberapa keping gambar yang sempat dirakamkan untuk tatapan pembaca sekalian.


Photobucket
Para pelajar yang bersemangat untuk menyambut ketibaan Bula Puasa

Photobucket
Upacara 'meledakkan nafsu' dilakukan oleh wakil pelajar
Photobucket
Barisan guru-guru yang hadir pada majlis tersebut

Photobucket
Tuan pengetua bersama Penolong-penolong kanan SMK Belawai memulakan acara simbolik 'meledakkan nafsu'..

Photobucket
Tazkirah ringkas oleh Ustaz Husni Zaim









10 May 2010

Interaksi Masyarakat Mampu Menangani Kecelaruan Identiti Remaja

ISU identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan peri lakunya, malah dihubungkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan dikaitkan dengan potensi hari depan.


Lebih jauh daripada itu identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepemimpinan dan kepengikutan yang bakal mewarisi kepemimpinan dan kepengikutan negara. Ia sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjadi beban yang berpanjangan kepada masyarakat. Ada petanda yang merisaukan banyak pihak mengenai identiti remaja kini.

Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej remaja sejak 30 tahun lalu cenderung kepada mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat.

Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi menghimpit, kecenderungan sebahagian remaja banyak terjebak dalam zon selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri. Mereka turut terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina ilmu dan bina negara.

Statistik di kalangan remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan. Jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala Aids/HIV juga menakutkan.

Apakah imej yang sedang melanda remaja kini disebabkan ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan hingga remaja menjadi mangsanya? Adakah ia akibat kealpaan kita terhadap peranan mendidik, memberikan idea pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara diterjemahkan secara bijaksana dan strategik kepada mereka?

Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma positif dalam kehidupan.

Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola yang bukan fitrah sifatnya. Ia juga dikaitkan dengan remaja yang mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa.

Remaja yang terjebak dengan kecelaruan itu bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara. Amat tidak adil jika anggapan dibuat bahawa semua remaja terjebak dengan masalah kecelaruan ini. Tetapi, petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk membina rasa bimbang dan resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas:-

Gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan.

Proses pembaratan yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram dan kehilangan arah.

Kehidupan beragama sedang menjadi pertikaian antara halal haram, pelanggaran salah benar dan makruf mungkar.

Memburu makna maju dan moden tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).

Hilangnya rasa hormat dan adab terhadap tradisi, hilang malu terhadap orang tua, ibu bapa, guru malah masyarakat.

Tiadanya cita-cita besar untuk bina bangsa, bina umat dan bina tamadun hingga menyebabkannya pudar.

Banyak sebab yang boleh diberikan mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah masa amat kritikal dalam hidup seseorang manusia.

Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk.

Membentuk imej, watak dan tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini. Ia termasuk :-

Kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan sewajarnya dalam pembentukan watak anak.

Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan.

Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak. Ramai anak yang mengalami 'keciciran' sejak awal umur lagi.

Ibu bapa tidak mempunyai ilmu dan keterampilan keibubapaan berkesan dalam mendidik anak-anak. Tidak ramai ibu bapa yang faham proses pertumbuhan minda anak-anak, perkembangan psikik dan emosi mereka serta hubung kaitnya dengan tingkah laku yang diamalkan.

Akibatnya wujud kelompangan dalam hati dan minda anak. Akhirnya anak membentuk minda, hati dan tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitarnya.

Sekolah banyak berperanan menyediakan anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku.

Berlakulah 'keciciran' kedua di kalangan anak. Umur yang amat kritikal bagi seseorang manusia dari sudut Islam adalah dari kelahiran hari pertama hingga ke tahap akil baligh.

Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik pada tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula.

Masyarakat tidak menyediakan suasana yang kondusif supaya remaja dapat membentuk diri dan peribadinya ke arah peka masyarakat dan keadaan sekeliling secara positif.

Sebahagian remaja terbabit dengan kerenah rakan sebaya yang menampilkan kegiatan negatif dan akhirnya terjebak dengan amalan merokok, ketagih dadah dan pergaulan lepas bebas.

Sistem kenegaraan sendiri tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja.

Orientasi dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan akhlak dalam pembinaan diri remaja. Tetapi, media cetak dan elektronik tidak dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan ketara apa yang dididik di sekolah dan rumah dengan apa yang dipaparkan media.

Akhirnya wujud konflik di kalangan remaja dan keadaan seperti ini melahirkan kecelaruan.

Keadaan di atas diburukkan dengan isu keagamaan yang dipertikaikan secara terbuka tanpa pendekatan mendidik dan ilmiah sehingga menyebabkan sumber rujukan remaja bercelaru.

Ada isu yang bercorak keagamaan boleh dibahaskan secara terbuka dan ada yang perlu dibincangkan di kalangan yang mempunyai keahlian.

Bayangkan isu agama, imej ulama dan persepsi mengenai Islam menjadi polemik tidak sihat. Keadaan ini boleh mempengaruhi remaja yang sedang mencari identiti diri dan sumber pengetahuan yang boleh dijadikan sandaran pembentukan pemikiran dan keyakinan dirinya.

Sumber Artikel: Prof. Dr. Sidek Baba.

18 December 2009

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431


SELAMAT MENYAMBUT
TAHUN BARU HIJRAH 1431

01 May 2009

1 Mei Hari Pekerja

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas segala kurnia-Nya. Di sini Panitia Pendidikan Islam SMK Belawai ingin mengucapkan

SELAMAT HARI PEKERJA


kepada mereka yang bergelar pekerja.

Tingkatkan pretasi dan produktiviti.

Wassalam.

24 March 2009

Peratusan Pendidikan Islam SPM 2008 Meningkat Lagi

Bismillahir rahmnair rahim.

Tahniah!!

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia nikmat tak terhingga. Selawat serta salam ke atas Nabi Mulia Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dan ke atas ahlil bait serta para sahabat baginda sekalian. Amma ba'du;

Alhamdulillah syukur sekali lagi dipanjatkan. Setelah keputusan SPM 2008 diumumkan pada minggu lepas, dan setelah dianalisis ternyata matapelajaran Pendidikan Islam SMKB terus meningkat dari 86.2% tahun 2007 kepada 90.7% tahun 2008. Peningkatan sebanyak 4.5%.

Tahniah!! diucapkan kepada para ustazah, ustaz, warga SMKB dan pelajar SPM 2008 di atas peningkatan tersebut.

Wassalam.

22 March 2009

Shalat-Shalat Sunnat Yang Ditunaikan Sehari-Hari

Tidaklah seorang muslim mengerjakan shalat karena Allah setiap hari 12 rakaat shalat sunnah karena Allah, kecuali Allah akan membangunkan sebuah rumah baginya di Surga atau dibangunkan baginya sebuah rumah di Surga” . Rinciannya sebagai berikut : Sholat empat rakaat sebelum shalat dzuhur dan dua rakaat setelahnya, dua rakaat setelah sholat maghrib, dua rakaat setelah shalat isya dan dua rakaat sebelum shalat subuh. Wahai saudaraku tercinta…“Tidakkah engkau mempunyai rasa rindu untuk dibangunkan rumah di Surga?!!” Peliharalah nasehat yang datang dari Rasul Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan tetap mengerjakan shalat sunnah sebanyak 12 rakaat.

Sumber: http://www.almanhaj.or.id/category/view/53/page/1

12 March 2009

Teka-teki Imam al-Ghazali

Assalamualaikum.
Selawat dan salam ke atas Rasul tercinta.

Panitia ingin berkongsi sedikit ilmu berupa teka-teki yang amat berguna kepada kita semua, iaitu teka-teki imam al-Ghazali, antaranya;

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya Teka-teki :

Imam Ghazali: Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?
Murid-murid menjawab;
Murid pertama: "Orang tua"
Murid kedua: “Guru"
Murid ketiga: "Teman"
Murid keempat: "Kaum kerabat"
Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini?
Murid pertama: " Negeri Cina"
Murid kedua: “Bulan"
Murid ketiga: "Matahari"
Murid keempat: "Bintang-bintang"
Iman Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali kemasa yang lalu. Oleh itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari yang akan datangdengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Imam al-Ghazali: Apa yang paling besar di dunia ini?
Murid pertama: "Gunung"
Murid kedua: “Matahari"
Murid ketiga: "Bumi"
Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah al-A’raf:179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.

Imam Ghazali: Apa yang paling berat di dunia?
Murid pertama: "Baja"
Murid kedua: “Besii"
Murid ketiga: "Gajah"
Imam Ghazali: Semua itubenar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah al-Ahzab:72). Tumbuh-tumbuhan binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika ketika Allah s.w.t. meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah s.w.t. sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali: Apakah yang paling ringan di dunia ini?
Murid pertama: "Kapas"
Murid kedua: “Angin"
Murid ketiga: "Debu"
Murid keempat: “Daun-daun”
Imam Ghazali: Semua jawapan kamu itu bnar, tapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Cara-cara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat. Apabila bersukan ramai bersorak untuk kemenangan tapi, seruan ‘Hayya ‘alal falah’ (marilah menuju kejayaan) ditinggalkan. Hisablah diri sendiri.


Imam Ghazali: Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?
Murid-murid dengan serentak menjawab: “Pedang”
Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti dan melukai perasaan saudaranya sendiri. (Teguran membina dialu-alukan).

Saudaraku semua!
Ingatlah tugas, kerja, pangkat, gaji, taraf hidup kita sekarang adalah pemberian Allah s.w.t.. Dia berikan semua ini untuk memudahkan kita beribadat, kerana diberikan rezeki (gaji) yang tinggi. Jangan abaikan atau lalai dengan solat lima (5) waktu yang hanya dikerjakan selama 5-7 minit sahaja. Dikhuatiri akan ditarik balik segala nikmat tersebut dan merana sepanjang hidup dengan kesusahan. Peliharalah SOLAT? Selagi Allah s.w.t. masih mentadbir kita ini. Insya Alah.

Wassalam.

11 March 2009

Solla 'Alaika Ya Rasulallah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sempena bulan Rabi'ul Awwal 1430 Hijrah bulan kelahiran Rasul tercinta Muhammad salallahu 'alaihi wasallam, warga Panitia Pendidikan Islam SMKB menyeru agar kita semua dapat menghayati sejarah kelahiran Baginda serta mengingat kembali perjuangan dalam menegakkan agama Islam di muka bumi ini.

Dengan itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi sebagai tanda kasih dan cintanya kepada Baginda di samping terus mengamalkan ajaran yang telah disampaikan oleh Baginda.

Kepada para pelajar, jadilah nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam sebagai idola sebenar kita terutama pakaian akhlak yang ditunjukkan oleh Baginda. Sesungguhnya akhlak Baginda ialah al-Quran.

Wassalam.

08 February 2009

Ulama sepakat wajib tutup aurat

SOALAN
SAYA sukacita apabila mendengar, mendapat dan melihat berita-berita ramai artis pergi menunaikan umrah dan juga haji. Artis-artis menjadi idola, model contoh dan ikutan ramai terutama di kalangan anak-anak muda.

Ramai yang bercerita menghebohkan pemergian mereka.

Yang menyedihkan ramai di antara artis-artis wanita yang telah pergi menunaikan umrah atau haji masih jahil dari segi peraturan agama, hukum dan larangan agama terutama tentang menutup aurat.

Ramai artis wanita cuma memakai selendang atau tudung sebenarnya tidak menutup aurat apabila rambut di hujung kepada terhulur keluar. Ada juga memakai tudung demikian dan memakai pula baju ketat menampakkan bentuk badan. Bukankah tidak menutup aurat itu satu dosa?

JAWAPAN:
Dalam Islam bila kita mengajar orang sesuatu kebaikan selagi mana kebaikan itu dilakukan oleh orang selagi itulah kebajikannya akan mengalir kepada kita. Dan apabila sesuatu keburukan diajar kepada seseorang selagi mana orang itu melakukannya selagi itulah tempias dosanya akan disalurkan kepada si pengajarnya.

Namun akal yang boleh membezakan antara baik dan buruk untuk dijadikan panduan dan sempadan.

Kewajipan seorang muslim menutup aurat bukan perkara (khilaf) yang diperselisihkan oleh ulama. Bahkan menutup aurat adalah wajib bagi setiap muslim lelaki dan perempuan.

Golongan yang mengingkari kewajipan menutup aurat dihukum kufur kepada perintah Allah SWT yang qatie (secara pasti dan muktamad).

Mengikut jumhur ulama wanita yang akil baligh, aurat berasal daripada bahasa Arab, aurah yang bererti kurang.

Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi.

Di dalam al-Quran terutamanya dalam surah al-Nur, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (al-Nur: 31)

Persoalannya kenapa ada di antara artis yang pergi ke tanah suci untuk menunaikan ibadat haji?

Dalam keadaan sedar pasti dia jawab kerana menunaikan fardu haji, yang bermaksud wajib. Ibadah ini wajib ditunaikan bagi setiap orang islam yang akil baligh apabila sudah cukup perbelanjaan dan yakin terhadap keselamatan dan aman perjalanan menunaikan seruan haji ini.

Jika jawapan yang diberikan kerana menyahut seruan kefarduan wajib menunaikan ibadat haji dan yakin bahawa ia diperintahkan oleh Allah.

Suka saya jelaskan bahawa tuhan yang wajibkan haji itu jugalah yang mewajibkan menutup aurat.

Saya juga hairan dengan muslim yang sebegini hanya mentaati Allah dalam sebahagian urusan agama dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. (al-Baqarah: 85-86).

Ayat ini menempelak perangai Bani Israel yang beriman dengan sebahagian perintah Allah dan mengingkari sebahagian perintah yang lain di dalam Taurat. Yang demikian itu adalah perangai dan sikap Bani Israel terhadap ajaran Allah di dalam Taurat.

Mungkin tiada bezanya antara Bani Israel dan umat Muhammad SAW dari segi mengingkari perintah Allah.

Tidak dinafikan ada di kalangan artis tanah air yang mendapat hidayah Allah lalu menutup aurat. Dan ada juga artis yang zaman mudanya bergelumang dengan dunia hiburan sehingga lupa perintah Allah di kala penghujung usia baru sedar akan tuntutan agama.

Sayangnya, usia muda dihabiskan untuk memperagakan tubuh badan. Di kala tiada siapa berahi mula menutup.

Walaubagaimanapun, itulah hidayah Allah. Ini bukan bermaksud di usia muda tiada hidayah.

Hidayah adalah petunjuk dari Allah SWT akan diperolehi oleh mereka yang mencarinya.

07 February 2009

Salam Perkenalan

Assalamualaikum.

Selamat datang ke blog Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai. Blog ini akan memaparkan maklumat-maklumat berkaitan mata pelajaran Pendidikan Islam, aktiviti yang dijalankan serta maklumat lain yang difikirkan perlu.

Selamat berkunjung ke laman ini. Kunjungan dan komen membina anda anda amatlah dihargai demi memperkasakan lagi panitia ini.

Wassalam.

Motto


"BERSAMA MEMBENTUK INSAN RABBANI"

Bersama-sama mencipta kecemerlangan SMKB berlandaskan prinsip-prinsip Islam.