20 April 2011

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kecil Belawai (Edisi Lewat)


Pada 15 Februari 2011 yang lalu telah berlangsung sambutan Maulidurrasul Peringkat Daerah Kecil Belawai bagi tahun 2011 di Kg. Rajang. Acara ini memang telah disambut setiap tahun oleh penduduk kampung yang terletak di dalam pentadbiran Pejabat Daerah kecil Belawai. Pada tahun ini giliran Kg. Rajang menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sambutan Maulidurrasul. SMK Belawai juga tidak ketinggalan untuk turut sama menjadi peserta di dalam sambutan kali ini. Selain memberi peluang kepada para pelajar, ia juga dapat mengeratkan lagi ukhuwwah antara warga SMK Belawai dengan penduduk setempat.


Bagi kontinjen SMK Belawai, penyertaan sangat menggalakkan samaada daripada guru-guru, kakitangan dan juga para pelajar. Apa yang menarik guru-guru bukan muslim juga turut sama menyertai perarakan sepanduk yang memuji Rasulullah yang kita amat cintai. Sebagai tanda atas semangat perpaduan dan semangat 1Malaysia, kita amat mengalu-alukan penyertaan mereka di dalam sambutan kali ini.

Dengan diketuai oleh Y.B. Datuk Hamden, ADUN N.35 Belawai dan di iringi Tn. Pegawai Daerah serta pegawai-pegawai kerajaan setempat termasuk Tn. Pengetua SMK Belawai, En. Mohd. Shariff Bin Md. Saad dan juga peserta-peserta perarakan, perarakan dimulakan di Masjid Kg. Rajang dengan iringan selawat yang memuji Rasulullah s.a.w. berjalan masuk ke dalam kampung dan di akhiri di Masjid Kg. Rajang. Walaupun letih berjalan, namun kepuasan jelas terpancar di kalangan peserta-peserta perarakan.

Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Tn. Pegawai Daerah kecil Belawai dan di susuli ucapan perasmian Majlis Sambutan Maulidurrasul Peringkat Daerah Kecil Belawai oleh Y.B. Datuk Hamden, ADUN N.35 Belawai. Majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid yang disampaikan oleh penduduk tempatan. SMK Belawai juga tidak ketinggalan menghantar satu kumpulan nasyid yang baru ditubuhkan di SMK Belawai.

Kumpulan yang diberi nama WUJDAN tidak menghampakan harapan sekolah untuk menaikkan lagi nama SMK Belawai. Persembahan kumpulan ini telah mendapat perhatian penduduk kampung kerana tidak ada lagi persembahan nasyid secara 'live' sebelum ini. Namun banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi persembahan kumpulan nasyid ini. Secara keseluruhan, penyertaan SMK Belawai di dalam sambutan maulidurrasul kali ini dianggap berjaya dan memberi impak kepada para peserta.

0 comments:

Post a Comment

Motto


"BERSAMA MEMBENTUK INSAN RABBANI"

Bersama-sama mencipta kecemerlangan SMKB berlandaskan prinsip-prinsip Islam.