29 April 2009

Isteri Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia


Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun...


KUCHING: (mStar) Puan Sri Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada 3.45 petang ini di kediaman mereka, Demak Jaya di Kuching, pegawai akhbar kepada Ketua Menteri, Amin Sahmat mengesahkan.


Allahyarhamah berusia 68 tahun.


Al-Fatihah...

20 April 2009

SMK Belawai JOHAN Hafazan Peringkat Mukah

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Tahniah

Selawat sentiasa ke atas Junjungan tercinta Penghulu sekalian alam nabi Muhammad 'alaihissolatu wassalam. Amma ba'du;

Alhamdulillah syukur ke hadrat AIlahi dengan nikmat yang sentiasa dicurahkan kepada SMK Belawai. Sekali lagi pelajar SMK Belawai mencipta nama di peringkat bahagian Mukah dalam pertandingan hafazan dan tilawah.

Penyertaan SMKB dalam Majlis Tadarus al-Qur'an dan Festival Nasyid Bahagian Mukah bertempat di Daro telah membuahkan hasil di mana mendapat Johan dalam pertandingan hafazan dan tempat ke-3 Tilawah al-Qur'an.

Tahniah diucapkan kepada peserta SMK Belawai dan juga guru pengiring ustazah Dayang Siti Aisyah Binti Adenan.

Senarai peserta yang dihantar mengikuti pertandingan tersebut;
  1. Habibah Bt Jakwa 5Sains JOHAN HAFAZAN
  2. Nur Aishah Bt Ahmad Marzuki 5Sains Tempat ke-3 Tilawah al-Qur'an
  3. Mohad Izzul Haq 4Sains
Tahniah diucapkan

09 April 2009

Pertandingan Nasyid Anjuran Panitia Pendidikan Islam SMKB

Alhamdulillah syukur kepada Allah subhanahu wataala, selawat sentiasa ke atas Junjungan nabi Muhammmad sallallahu 'alaihi wasallam. Ama ba'du;

Dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Tuhan sekalian alam, limpah dan kurniaNya, Panitia Pendidikan Islam SMKB telah berjaya menganjurkan pertandingan nasyid peringkat SMKB yang berlangsung pada malam 8 April 2009 iaitu Minggu Pendidikan Islam.

Pertandingan kali ini merupakan pertandingan nasyid terbuka kepada semua pelajar SMK Belawai dari peringkat menengah rendah dan menengah atas di mana sebanyak 6 kumpulan telah menyertainya.

Secara keseluruhan, pelajar perempuan telah mendominasi pertandingan ini, yang mana 5 kumpulan merupakan pelajar perempuan dan hanya 1 kumpulan sahaja diwakili pelajar lelaki. Syabas diucapkan kepada semua yang menyertai pertandingan nasyid terbuka peringkat SMK Belawai.

Dari segi persiapan dan persediaan menyertai pertandingan nasyid ini, pihak Panitia Pendidikan Islam SMKB telah menyerahkan kepada semua peserta untuk membuat persiapan dan persediaan sebelum menyertai pertandingan sama ada latihan, cara pemakaian, gaya persembahan dan sebagainya. Ternyata pelajar SMK Belawai berjaya melakukannya tanpa penglibatan guru.

Sesungguhnya pelajar sekolah ini mampu berdikari dalam usaha bagi memastikan kumpulan mereka mendapat tempat di hati panel hakim pertandingan.

Kepada yang berjaya diucapkan tahniah dan kepada kumpulan yang mendapat saguhati diharap akan terus meningkatkan lagi prestasi di masa hadapan.

Semoga dengan berjalannya aktiviti minggu Pendidikan Islam kali ini dapat menerap sedikit sebanyak nilai-nilai Islam ke dalam diri para pelajar.

foto akan dipaparkan nanti....

Arak punca segala kejahatan, cetus permusuhan

Minuman keras boleh pesongkan akidah umat Islam dan membawa kepada kekufuran

Berita Harian

AKHIR-AKHIR ini, proses pembentukan akhlak sudah tidak begitu dipeduli, sehingga minuman keras menjadi kebiasaan muda-mudi, meneguknya di mana-mana tanpa malu dan segan lagi, halal dan haram dipandang sepi, asalkan nikmat sementara dirasa sesekali.

Jika arak dianggap najis, sudah tentu tiada siapa yang dekati, tapi jika ia menjadi lambang prestij dan identiti, berebutlah segelintir umat Islam yang kikir hati melawan hukum Ilahi, meredai punca segala kemaksiatan dan kezaliman ini menguasai diri.

Arak yang mudah didapati di mana-mana saja hari ini sejenis minuman kegemaran bangsa Arab jahiliah dan menjadi minuman pilihan sehingga sesudah kedatangan Islam, di mana sahabat Rasulullah SAW masih meminumnya kerana pada waktu itu larangan meminum arak masih belum berkuat kuasa walaupun Rasulullah SAW sendiri mengetahui kemudaratannya kepada pertimbangan akal dan fikiran.

Pernah terjadi satu peristiwa ketika Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang sahabat termasuk Saidina Ali bin Abi Talib. Semua tetamu dihidangkan arak, minuman utama tetamu pada majlis rasmi.

Apabila masuk Maghrib, Saidina Ali mengimamkan solat dan membaca surah al-Kafirun, ayat 1 hingga 3 dalam keadaan mabuk, sehingga mengubah makna ayat itu menjadi seperti berikut: "Katakan wahai orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami sudah pun menyembah apa yang kamu sembah."

Begitu juga kisah seorang lelaki Ansar bernama Utban bin Malik yang mengadakan jamuan dihadiri kaum Ansar dan Muhajirin. Jamuan menghidangkan arak sebagai minuman itu menyebabkan seorang lelaki Muhajirin, Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair memuji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya menyebabkan huru-hara.

Akibat kejadian itu, Allah menurunkan wahyu yang mengharamkan arak sepenuhnya seperti dirakamkan dalam firman bermaksud: "Wahai orang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil." (Surah al-Maaidah, ayat 90-91)

Bagai tidak dapat diterima adanya sebilangan umat Islam yang tidak segan silu meminum minuman keras dan menjadikannya hidangan biasa. Sudah dirakamkan Allah bahawa arak adalah kotor dan keji serta perbuatan syaitan, malah ia disamakan dengan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib.

Umat Islam juga dilaknat Allah jika memerah anggur untuk dijadikan arak, minta diperahkan, meminumnya, membawanya, minta dibawakan kepadanya, menuangnya, menjualnya, menggunakan wang jualannya, membelinya dan meminta dibelikan arak walaupun kepada bukan Muslim.

Ketegasan hukum digariskan jelas menunjukkan bahawa apa saja berkaitan arak adalah dilaknat Allah dan mempunyai sebab serta akibat yang tidak bagus.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Daripada Annas bin Malik katanya: Bahawasanya Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan berkaitan dengan arak iaitu yang memerahnya, minta diperahkan, meminumnya, membawanya dan minta dibawa kepadanya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya dan minta dibelikan." (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Arak berbahaya kepada akidah umat Islam apabila Allah menyamakannya dengan pemujaan berhala dan mengundi nasib sebagai perbuatan syaitan. Apa juga perbuatan syaitan adalah menyekutukan Allah dan menyebabkan kekufuran, sama sekali tidak dapat diterima dalam agama.

Arak memesongkan hamba Allah daripada mengingati-Nya kerana ia membuatkan seseorang Muslim itu meninggalkan sembahyang dan puasa serta ibadah lainnya kerana mabuk. Arak juga meruntuhkan akhlak, menimbulkan permusuhan dan kebencian, memusnahkan institusi kekeluargaan.

Iklan arak yang banyak sekali terpampang seperti menggamit pembeli untuk menikmati rasa kerana nafsu manusia bukan mudah dikekang tanpa usaha. Undang-undang termaktub kepada orang Islam di setiap negeri mengenai hukuman meminum arak tidak pula menghalang mereka yang ketagih daripada meneguknya kerana ia sudah menjadi amalan biasa.

Bukan itu saja, remaja hanya mampu membeli arak lebih murah tidak pula terasa payah melabur wang untuk kepuasan diri, kerana kemabukan itu kononnya menyeronokkan, menghilangkan kekusutan serta tekanan biarpun hanya sementara.

Hakikatnya arak adalah ibu kepada segala kejahatan dan dosa. Jika arak menjadi penenang kepada golongan kufur, kenapa pula umat Islam mudah dipengaruhi dengan cara mereka?

Sedangkan Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhakai kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah at-Tahriim, ayat 6)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

07 April 2009

Allah Maha Mengetahui

Bismillahir rahmanir rahim.



Alhamdulillah, syukur pada Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam ke atas Junjungan tercinta nabi Muhammad sollallau ‘alaihi wasallam. Amma ba’du;



Al-asmaul husna bermaksud nama-nama Allah yang indah. Terdapat 99 nama-nama Allah dalam al-Qur’an al-Karim. Panitia ingin menyentuh tentang “al-‘Alim” bermaksud Maha Mengetahui.



Allah subhanahu wa taala yang bernama “al-‘Alim” mengetahui meliputi semua perkara, perkara ghaib mahu pun nyata kerana firman Allah subhanahu wa taala:




عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ.

سورة الأنعام: 73

Bermaksud: Dia (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dialah (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha mendalam pengetahuanNya.



Segala perbuatan manusia tidak akan terlepas dari pengetahuan Allah subhanahu wa taala. Tidak kira berselindung dari pandangan manusia namun ia tetap dalam pengetahuan Allah subhanahu wa taala. Segala perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pacaindera manusia tetap di sisi Allah subhanahu wa taala segalanya nyata.



Sebagai seorang Islam yang mengaku dan beriman dengan adanya Allah, beriman dengan hari akhirat dan beriman adanya malaikat yang sentiasa mencatat segala amalan baik dan buruk sepatutnya merasa dan merendah diri dalam apa jua perkara. Kerana perbuatan kita yang dilakukan di sebalik tabir tetap diketahui Allah.



Semua perkara yang dilakukan akan tetap dihitung dan dihisab di akhirat kelak. Tidak siapa yang terlepas dari mahkamah yang maha adil di padang mahsyar. Setiap amalan akan mendapat balasan yang setimpal.



Hisablah diri sebelum diri dihisabkan.



Wassalam.

Motto


"BERSAMA MEMBENTUK INSAN RABBANI"

Bersama-sama mencipta kecemerlangan SMKB berlandaskan prinsip-prinsip Islam.