Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

01 September 2009

RUKUN PUASA

Rukun puasa ada tiga (3) :
1. Orang yang berpuasa.
2. Niat.
3. Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Keterangan-keterangan mengenai niat berpuasa :

1. Wajib ditakyinkan (ditentukan) jenis puasa fardu seperti Ramadhan, Nazar, Kifarah dan sebagainya.

2. Wajib dilakukan pada waktu malam bagi puasa wajib. Ada pun puasa sunat boleh diniatkan pada siang hari dengan dua syarat. Pertama, masanya sebelum tergelincir matahari. Kedua, belum melakukan sesuatu yang membatalkan puasa.

3. Menurut Imam Syafie wajib niat puasa pada tiap-tiap malam. Imam Malik pula berpendapat, boleh niat puasa sekalian Ramadhan dengan sekali niat pada awal Ramadhan(malam pertama). Dan berhubung dengan pendapat Imam Malik ini, kita pengikut Mazhab Syafie adalah diharuskan bertaklid dengannya.

Niat Puasa Ramadhan;

"Sahaja aku berpuasa esok hari kerana menunaikan fardu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

31 August 2009

Pengertian Puasa.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Puasa bermaksud menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari beserta niat.

13 July 2009

Haram bagi wanita cukur alis, membentuk gigi sempurna

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selawat dan salam ke atas Junjungan nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam.

Berita Harian

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Mas’ud)

Maksud mengubah ciptaan Allah ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah yang sudah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

Mencabut bulu kening yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu supaya menepati cita rasa sendiri untuk kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan haram di sisi Islam.

Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah. Lagipun jika yang dicabut itu yang berselerak, bukan termasuk bulu dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya.

Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya saja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir).

Memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau semburan) adalah harus tetapi tidak mengubahnya kerana ia adalah haram.

Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah kerana itu sikap diwarisi daripada syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.

27 May 2009

Pelajari pengurusan jenazah satu fardu kifayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, selawat ke atas rasulillah dan keluarga Baginda serta para sahabat radhiallahu anhum ajma'in. Amma ba'du;



Peserta diajar cara memandikan jenazah semasa kursus itu di Loji Percetakan Utusan Melayu Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.

(Utusan Malaysia)

Setiap yang hidup itu pasti akan menemui mati. Justeru, mempelajari hal berkaitan pengurusan jenazah adalah fardu kifayah.

Biro Pendidikan dan Agama, Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) Seberang Jaya, Pulau Pinang tidak ketinggalan menganjurkan kursus pengurusan jenazah di Loji Percetakan Utusan Melayu Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pengerusi biro berkenaan, Abdullah Yusof berkata, kursus itu jika dihayati sepenuhnya, banyak memberi manfaat.

"Nampaknya, kursus pengurusan jenazah yang diadakan ini, mendapat sambutan begitu baik di kalangan pekerja," katanya.

Beliau berkata, ramai kakitangan muda turut mengikuti kursus ini untuk menambah ilmu masing-masing.

"Ilmu begini boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, yang penting mereka tidak ada perasaan jemu dan bosan," katanya.

Peserta mengikuti ceramah oleh Pegawai Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Ayob Hanapi.

Seorang peserta kursus, Sopian Ibni Hajar, 55, berkata, langkah diambil oleh biro ini bagi menganjurkan kursus itu, adalah baik sekali.

"Walaupun sibuk dengan tugas, saya masih ada masa mempelajari cara-cara pengurusan jenazah bersama kawan-kawan lain," katanya.

Menurutnya, ia selari dengan kehendak hukum syarak dan tuntutan fardu kifayah.

Rakannya, Shuhaimi Izaham, 51, berkata, peserta diajar cara-cara mengurus jenazah tentang teori dan amali, ia banyak memberi manfaat.

"Jika ada perkara yang tidak puas hati, peserta diberi peluang membuat pertanyaan kepada penceramah," katanya.

Abdullah Hussin, 47, berkata, ada sesetengah orang tidak begitu mengambil perkara-perkara seperti ini dengan memberi pelbagai alasan.

"Inilah kali pertama saya mengikutinya, maklumat yang diberi boleh dijadikan panduan asas kepada diri sendiri," katanya.

Bagi Mohd. Rizal Kassim, 34, ia dapat menambah ilmu pengetahuan di kalangan kakitangan syarikat ini.

"Bila golongan pelapis tidak diajar tentang perkara-perkara itu, ia bakal memberi masalah besar kerana masyarakat tempatan," katanya. - ABD. RAZAK OSMAN

Motto


"BERSAMA MEMBENTUK INSAN RABBANI"

Bersama-sama mencipta kecemerlangan SMKB berlandaskan prinsip-prinsip Islam.